Sunday, November 14, 2010

Hadiah ramadhan 19 i

“Abang nak rendang atau nak udang?” tanya Adlina sambil mencedok nasi beriyani ke dalam pinggan Shahrin.

“Both, tapi sikit sikit saja. Takut perut buat hal nanti waktu khatib baca khutbah. Abang nak jamah saja ni. Nanti balik abang sambung betul betul,” beritahu Shahrin sambil melabuhkan punngung ke kerusi. Dia sudah siap berpakaian indah untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Matanya meratah semua sajian yang terhidang. Seawal empat pagi tadi mertuanya sudah bangun menyiapkan hidangan untuk pagi itu.

“Sempat mak masak semua ni,”sapanya pada Puan Khadijah yang baru keluar dari dapur membawa seteko air.

“Masak awal sikit hari ini. Lepas tahajjud tadi mak dah mula masak.” Puan Khadijah membalas.

“Abang tak makan dulu ke?” Puan Khadijah bertanya Hj Zakaria yang sekadar menikmati sedikit kuih raya. Haji Zakaria menggeleng.

“Tak apa, balik nanti baru makan. Tapi saya dah meratah rendang awak awal tadi kat dapur.” Tertawa Puan Khadijah mendengar akuan dari suaminya. Dia arif sangat, Hj Zakaria memang hantu rendang Padangnya. Mahu suaminya itu merajuk kalau dia masak rendang Melaka di pagi Syawal. Bagi Hj Zakaria, resepi rendang Padang turun temurun arwah ibunya itulah yang paling sesuai di sediakan di pagi Syawal. Kalau nak makan rendang Melaka, esok esok ziarah rumah orang lain pun boleh saja merasa. Anak saudaranya di Lidya tu, raya atau tak, memang suka sangat masak rendang Melaka.

“Abang nak ke rumah mak bila?” tanya Adlina saat dia menyerahkan segelas air kepada Shahrin. Pantas Puan Khadijah mencuit lengan baju Hj Zakaria. Dia menaikkan kening sambil bibirnya menjuih kearah Adlina yang sedang memandang Shahrin. Hj Zakaria membalas mengangkat kening juga sambil tersenyum lebar.

“Nanti lepas abang balik solat kita ziarah mak pula.” Shahrin menjawab. Melihatkan ada bekas sambal di pipi Shahrin, Adlina pantas mengelap dengan ibu jarinya. Secara refleks, Shahrin mengelak.

“Alahai, sayang……”keluh Shahrin. Adlina berubah riak. Salah ke perbuatannya tadi. Dia sekadar mahu membantu membersihkan sambal di pipi Shahrin saja. Melihat wajah Adlina yang berubah muram, pantas Shahrin memberitahu,

“Abang dah ambil wudhu lah sayang. Batal wudhu abang dah….”dia tersenyum. Adlina tersenyum kecil, malu pula kerana sudah berburuk sangka tadi. Shahrin kemudian mencuit hidung Adlina dengan tangan kanan yang masih ada sisa sambal itu.

“Eeh, abang…” Adlina terkedu di perlakukan begitu di depan ayah dan emaknya. Malu kerana mereka belum tahu akan pakatan berdamai mereka.

“Cantik muka Lin kan mak…” Shahrin selamba menutur. Kemudian dia tertawa lepas.

Hj Zakaria dan Puan Khadijah juga ikut tertawa.

“Dah berabang, dan bersayang sayang ni, kiranya…dah berdamai lah anak menantu ayah, ya?” soal Hj zakaria merenung anak mata Adlina. Adlina membuang pandang. Malu di soal sedemikian.

“Perang dingin dia tak segan segan, dah berdamai, dia segan nak beritahu kita,” usik Puan Khadijah pula.

Shahrin memandang wajah mertuanya silih berganti. Sinar matanya memberitahu tekaan mereka itu tepat. Dia bersyukur, dan dia mahu mereka bergembira dengan berita busyrah itu.

“Macam tu lah mak, ayah. Doakan Shahrin banyak banyak.” Dia memohon restu. Haji Zakaria mengangguk angguk. Puan Khadijah tersenyum senang.

“Mak, ayah…..” Adlina tidak tahu bagaimana mahu menafikan.

Mahu menafikan benda baik lagi?

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

*Ar Rahmaan ayat 13

No comments: